ARUS PEMBANGUNAN EKONOMI ASIA TENGGARA DAN KESAN
ARUS PEMBANGUNAN EKONOMI ASIA TENGGARA DAN KESAN
TERHADAP INDUSTRI PERBEKALAN MAKANAN.
Tumpuan terhadap kedudukannya di Malaysia
dari corak pembangunan Tun Abdul Razak
ke zaman Dato Sri Mahathir.
Pengenalan.
Setelah kemerdekaan diperolehi, penduduk Asia Tenggara percaya kekayaan sumber alam mereka yang selama ini disalurkan oleh pihak penjajah ke negara asal mereka akan mereka kecapi sepenuhnya. Kemerdekaan akan membawa kemakmuran sehingga dasar-dasar ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan mereka menekankan pencapaian kemajuan (pertumbuhan), nasionalisme dan kesaksamaan ekonomi. Bagi mencapai matlamat itu kerajaan-kerajaan Asia Tenggara mempunyai tiga pilihan utama bagi menentukan bentuk ekonomi yang diingini. Corak kapitalis di pakai di Thailand, Republik Vietnam, Singapura, Filipina, Burma, Indonesia (waktu Orde Baru) dan Malaysia. Corak Sosialis di Burma waktu Ne Win dan Republik Sosialis Vietnam. Manakala suatu corak tersendiri yang menggabungkan prinsip-prinsip sosialis ataupun kapitalis yang agak kabur dengan unsur-unsur kebudayaan tempatan dilaksanakan di Burma (waktu U Nu), Kampuchea (waktu Sihanouk) dan Indonesia (waktu Orde Lama). Namun dari perkembangan sejarah pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara, ternyata tidak ada satu corak ekonomi yang secara pasti dapat menjamin kejayaan, atau kekal patuh kepada bentuk yang dipilih tanpa melakukan pengubahsuaian. Pencapaian kemajuan, nasionalisme dan kesaksamaan ekonomi bukanlah perkara yang mudah berlaku. Salah satu punca utama kesukaran itu ialah kerana struktur ekonomi negara-negara Asia Tenggara sudah terangkum le dalam satu jalinan sistem ekonomi kapitalis antarabangsa kesan tindakan bekas para penjajahnya. Ketidakupayaan bebas daripada rangkuman itu, mendesak negara-negara Asia Tenggara menukar strategi pembagunan ekonomi yang nasionalistik dan berasaskan sumber kepada strategi yang membawa penyertaan mereka ke dalam arena ekonomi antarabangsa dan perindustrian.1
Sehubungan itu pembangunan ekonomi Asia Tenggara semakin berubah dari strategi tradisional kepada pendekatan-pendekatan baru. Perubahan yang cuba membawa perimbangan dalam perkongsian yang mendatar dan juga menegak serta melangkaui batas-batas kaum, awam-swasta dan jantina. Kaedah utama yang diterima pakai adalah pembangunan industri pembuatan dan pasaran. Perubahan ini bukan sahaja digerakkan oleh unsur-unsur dalaman, malah dicetuskan oleh perkembangan dan desakan luar. Tuntutan susunan ekonomi dunia atau pengaruh globalisasi ekonomi dunia telah memaksa negara-negara di Asia Tenggara mewujudkan syurga pelaburan bagi mempersilakan modal, pelaburan, teknologi, dan lain-lainnya dari negara-negara maju dan juga firma-firma transnational (TNC). Perkembangan ini mula meningkatkan kepentingan perindustrian berbanding dengan kemerosotan kegiatan pertanian yang dialami oleh negara-negara ASEAN seperti dipaparkan di dalam jadual I berikut.
Jadual I ______________________________________________________________________________________
Struktur Pengeluaran Negara-negara ASEAN, 1960-1976.2
_______________________________________________________________________________________
. Bahagian Kepada Keluaran Negara Kasar (%) . . Pertanian Industri Perkhidmatan
Negara 1960 1976 1960 1976 1960 1976
Indonesia
45
29
17
34
38
37
Thailand
40
30
19
25
41
45
Filipina
26
29
28
34
46
37
Malaysia
40
29
18
30
42
41
Singapura
4
2
18
35
78
63
Sumber: IBRD, World Development Report, 1978.
Perindustrian telah merubah struktur ekonomi, pembangunan sosio-politik dan juga terhadap industri perbekalan makanan. Kepentingan baru wujud kepada faktor-faktor pengeluaran yang memberi tekanan negatif kepada kegiatan pertanian, terutamanya penawaran makanan ruji penduduk Asia Tenggara. Walaupun Thailand dan Burma dapat mengekalkan peranan sebagai pembekal utama keperluan makanan rantau ini, namun arus pembangunan ekonomi negara-negara itu turut mengancam ketahanan faktor-faktor pengeluaran pertaniannya Thailand memulakan rancangan perindustrian mulai awal 1960an dengan pelaksanaan Rancangan Enam Tahun Pertama (1961-1966 dan Akta Promosi Pelaburan (1962).3 Kebelakangan ini keghairahan untuk menjayakan projek Greater Mekong Subregion (GMS) meningkatkan lagi kecenderungan perindustrian negara tersebut dengan kemasukan pelaburan baru. Perubahan ini di satu pihak dan pelbagai masalah yang menyelubungi sektor pertanian Thailand, dari masalah kemiskinan petani, pengagihan kekayaan, pemilikan, monopoli pasaran, masalah berhutang dan kredit pertanian dan saingan dari sektor industri terhadap modal, buruh dan lain-lain di pihak yang lain mencabar kemahuan para petani untuk terus berkecimpung dalam sektor tersebut. Manakala bagi Indonesia, Malaysia dan lebih-lebih Filipina, keupayaan untuk menghasilkan jumlah beras yang mencukupi bagi menampung sepenuh keperluan penduduknya masih tidak berjaya walaupun antara tempoh 1955-1973 berlaku pertambahan kawasan pertanian padi sebanyak 36 peratus di Malaysia dan 100 peratus di Indonesia.4 Kebijaksanaan kerajaan Indonesia menjadikan keluarga berancang sebagai dasar negara merendahkan pertambahan penduduk dan memberi penekanan kepada sektor pertanian dengan program Repelita, melaksanakan pengurusan BULOG, kaedah BIMAS dan beberapa langkah lain, walaupun bermasalah, berfaedah juga bagi mengatasi kekurangan makanan negara itu pada permulaan Orde Baru diperkenalkan.5
Pembangunan Di Malaysia
Di Malaysia, pendekatan pembangunan ekonominya juga berubah. Pada masa selepas perang sehingga perancangan dan pelaksanaan dasar ekonomi baru (DEB) pada 1970, strategi tradisional dilaksanakan walaupun pembangunan perindustrian diberi perhatian juga menjelang tahun 1970. Bidang pertanian keperluan asas kurang diganggu struktur dan institusinya, malah pembangunan tanah dalam sektor itu tidak sehebat sebelum Perang Dunia Kedua. Peruntukan perbelanjaan bagi bidang pertanian dalam Rancangan Malaya 1 dan 2 masing-masing pada jumlah kurang dari lima peratus. Rancangan Malaya Pertama/Am (1956-60) lebih bermatlamat untuk menjaga kepentingan-kepentingan ekonomi Inggeris - iatiu seperti meninggikan mutu getah, mempermodenkan industri perlombongan, menentukan dasar penggunaan dan pembukaan tanah yang baik dan mengembangkan perkhidmatan sosial (terutamanya kemudahan infrastruktur)6. RM1 dianggap sebagai berorientasi sektor bandar dan kurang program pembangunan pertanian yang tertentu, sebaliknya sekadar "patching styles" dengan pendekatan infrastruktural tanpa pembaharuan institusional. RM2 masih menggunakan pendekatan yang sama walaupun kesedaran mula wujud untuk menangani masalah lokal dengan tujuan-tujuan seperti mempelbagaikan ekonomi dan pertanian supaya tidak terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah serta mempergiatkan perusahaan tempatan yang berguna untuk menyelesaikan masalah penggangguran yang semakin ketara. Perhatian juga mula diberikan dengan lebih serius kepada usaha meningkatkan pengeluaran bahan-bahan makanan, terutamanya beras kerana Malaya ketika itu hanya mampu mengeluarkan sepertiga sahaja daripada keperluan beras penduduknya. Kesan daripada usaha ini yang dapat dilihat dalam pengenalan benih padi yang lebih baik, bantuan baja dan jaminan terhadap sistem harga minima, membantu meningkatkan pengeluaran dari 182,000 gantang pada 1951/2 kepada 560,000 gantang pada 1969/70.7 Peningkatan ini dapat dilakukan kerana usaha memajukan sektor pertanian makanan berterusan dalam Rancangan Malaysia 1 (1965-1971). Walau bagaimanapun berbanding dengan usaha membuka dan membentuk kawasan pertanian komersil, khususnya tanaman kelapa sawit lebih utama. Federal Land Development Authority (FELDA) yang diasaskan sejak 1956 sudah berpengalaman untuk melaksanakan projek-projek besar pembukaan tanah untuk tanaman komersil. 8 Manakala tumpuan kepada sektor bandar tidak diabaikan dengan matlamat meluaskan perusahaan pembuatan dengan memberi keistimewaan-keistimewaan kepada perusahaan perintis. Keseluruhan perancangan ini diberi peruntukan yang besar ($4,242,4 juta) memandangkan kedudukan kewangan ketika itu yang sedang tertekan oleh kejatuhan harga pasaran barang-barang eksport utama Malaysia. Perbelanjaan tinggi ini terpaksa dilakukan kerana gejala-gejala perkauman yang berasas kepada cemburu ekonomi puak sedang meningkat dan terjelma dalam Hartal 1967 serta kemudiannya dengan Peristiwa 13 Mei 1969. Keadaan ini digelapkan lagi dengan tahap kemiskinan yang masih tinggi di luar bandar dan peningkatan pengangguran. Langkah seperti Perancangan Keluarga dan pemberian latihan kemahiran diadakan bagi mewujudkan taraf kehidupan dan pekerjaan yang selesa. Usaha lain ialah membina industri luar bandar yang sebenarnya telah dimulakan dengan pembentukan RIDA (awal 1950an), tetapi kini dipertingkatkan dengan strategi dan keupayaan baru. Langkah ini diberi perhatian serius kerana kemiskinan di luar bandar masih tinggi. Pada tahun 1970, tahap kemisikinan di sektor luar bandar berada pada kadar 58.7% dan golongan yang terbanyak berada dalam paras kemiskinan ini ialah pesawah (88.1%) berbanding dengan nelayan (73.2%), penanam getah (64.7%) dan penanam kelapa (52.8%).
Rancangan Malaysia Kedua (1971-75) memperlihatkan peruntukan yang lebih besar, iaitu $14,350 juta dengan matlamat menyelesaikan masalah perbezaan ekonomi antara sektor/kaum. Dasar Rancangan disifatkan sebagai serampang dua mata, iaitu pertama bagi membasmi kemiskinan dan kedua mewujudkan perpaduan nasional yang berkecai dengan Peristiwa 13 Mei 1969. Beberapa strategi baru mula diterapkan tetapi kaedah pelaksanaan tidak banyak berubah kerana dihalang oleh kelemahan kemahiran dan kekurangan jentera pelaksana. Pada tempoh ini usaha bersungguh untuk membawa taraf ekonomi luar bandar dan orang Melayu ke tahap yang lebih selesa dilaksanakan. Pelbagai agensi dibentuk dan digerakkan seperti MARA, FAMA, Bank Pertanian, FELDA, FELCRA, MADA, KADA, FOA (Faermer's Organization Authority) dan lain-lainnya bagi tujuan tersebut. Malah strategi pembangunan bersepdu luar bandar (IRD) dengan pembentukan KESEDAR, KETENGAH, DARA dan KEJORA, dan kawasan pertanan khususnya kawasan penanaman padi (IADP) seperti MADA I, MADA II, KADA I, KADA II, serta kawasan-kawasan penanaman di Besut, Barat Laut Selangor,Krian-Sungai Manik, Kemasin-Semarak, Trans-Perak dan Balik Pulau-Seberang Perai. Bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua dan diteruskan oleh tiga RM lain, maka diharapkan kadar kemiskinan luar bandar akan turun ke angka 21.6% dan kadar penyertaan bumiputra dalam sektor bandar mencapai angka 30%.9 Nyata bahawa Rancangan Malaysia Kedua bukan sahaja memberi tumpuan kepada sektor luar bandar, malah pembangunan pertanian padi turut diberi perhatian berat oleh kerajaan.
Pembangunan Oleh Tun Abdul Razak
Kesediaan kerajaan memberi perhatian kepada sektor luar bandar dan sektor pertanian bukan sahaja kerana tuntutan keadaan dan kebiasaan yang berlaku bagi negara-negara pertanian yang baru merdeka, tetapi berkait rapat juga dengan kepimpinan ketika itu. Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada 1970, dan selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum itu adalah orang yang sangat rapat dalam usaha pembangunan terutamanya pembangunan luar bandar. Berketurunan Bugis-Kampar, beliau mendapat pendidikan di MCKK dan kemudiannya di London memulakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir yang mula aktif dalam UMNO awal 1950an.10 Walaupun berasal dari keluarga bangsawan tetapi mengharungi hidup seperti orang kampung biasa menyebabkan mudah baginya memahami persoalan keperitan hidup golongan yang tertinggal dalam perlumbaan ekonomi. Beliau dikatakan tertarik dengan perjuangan golongan liberal dan tertarik dengan idea Fabian sewaktu belajar di London. Unsur-unsur ini telah memberi tekad kepada beliau untuk menangani masalah kemiskinan luar bandar yang pernah dilalui dan terus ditatapinya sehingga ke akhir hayatnya pada 1976 ketika menjadi Perdana Menteri. Sebagai Pengarah Pembangunan Luar Bandar sebelum menjadi Perdana Menteri beliau telah menggunakan sepenuhnya kaedah bilik operasi menentang Komunis ke dalam usaha pembangunan luar bandarnya dan seperti sebilangan para pemimpin negara lain yang menyerang masalah kemiskinan dengan buku panduan matlamat, gerakan dan pelaksanaan, beliau mengeluarkan Buku Merah atau RED (Rural Economic Development) Book. Bersama dengan kesemua Rancangan Malaya dan Malaysia yang terbentuk sejak 1956 hingga 1976, Tun Abdul Razak berjuang membangunkan ekonomi Malaysia - wajarlah disebut sebagai Bapa Pembangunan - dengan mengutamakan sektor luar bandar dan pertanian dengan tidak mengabaikan perhatian kepada masalah pertanian padi.11
Tumpuan Tun Abdul Razak membangunkan sektor luar bandar adalah usaha untuk mengikis struktur ekonomi yang dibentuk oleh penjajah. Pendekatannya adalah melalui pembangunan dan konsolidasi kekayaan sumber dalaman dan perimbangan perkongsian adalah melalui urbanisasi dan peningkatan usaha komersil ke luar bandar. Bantuan daripada Bank Dunia dan ADB serta cadangan-cadangan pembangunan yang diajukan kepada Malaysia ketika itu adalah ke arah pendekatan yang digunakan ketika itu. Usaha beliau merekonstuk semula senario ekonomi dengan mewujudkan bandar-bandar baru yang diisi dan diaktifan oleh orang Melayu. Kawasan-kawasan pembangunan tanah seperti JENGKA dan lain-lain diharapkan akan menjadi kawasan urban baru yang dipenuhi oleh orang Melayu. Beliau berpendirian bahawa adalah tidak wajar dan akan mencetuskan ketidaksenangan hati orang bukan Melayu di sektor bandar yang sedia ada jika diaturkan supaya sebilangan orang Melayu ke dalamnya. Berdasarkan tindakan dan pendirian Tun Abdul Razak ini maka adalah kurang tepat untuk mengatakan bahawa beliau sepenuhnya bertindak mengikut ciri-ciri pembangunan berdasarkan teori kemunduran negara tradisional ataupun teori klasik dualisme.12 Pengubahsuaian telah belliau lakukan dalam pendekatan pembangunan luar bandar walaupun ciri-cirii dan idea teori-teori itu masih menyaluti secara amnya. Walau bagaimanapun pengubahsuaian itu kurang ketara kerana pembaharuan secara kendiri dari sektor luar bandar dan pertanian, umumnya orang Melayu sukar dicernakan sehingga perlu juga menggunakan proses difusi, integrasi dan akulturasi dari sektor moden/bandar ke sektor luar bandar (tradisional) seperti di gariskan dalam teori-teori tersebut. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana para penasihat pembangunan Malaysia ketika itu adalah mereka yang mendukung pendekatan dari teori-teori tersebut yang juga popular ketika itu.
Corak Pembangunan Dato Sri Dr. Mahathir
Justeru kerana terdorong juga oleh keadaan yang memaksa akur dengan pendekatan teori-teori itu maka proses membangunkan sektor luar bandar harus ditingkatkan dahulu sektor bandar atau moden/perindustrian. Berdasarkan kepada itulah maka usaha-usaha memajukan sektor perindustrian turut meningkat pada waktu akhir Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Perkembangan inilah yang menyebabkan dasar-dasar ekonomi yang dibawa oleh Dato Sri Dr Mahathir dianggap sebagai bukan sesuatu yang baru, tetapi pelebaran kepada apa yang telah diasaskan atau dituju oleh Tun Abdul Razak.13 Walau bagaimanapun tanggapan itu tidaklah penting kerana jelas sekali beberapa perubahan dasar ekonomi Malaysia adalah dari ilham Mahathir. Antara yang terpenting ialah Dasar Pandang ke Timur, Pensyarikatan Malaysia, Penswastaan, Dasar Pengurangan Beban Perbelanjaan Awam, Dasar Perindustrian Berat, Dasar Produktiviti, Pelan Induk Perindustrian yang dilancarkan pada tahun 1986, Dasar Pembangunan Nasional dan beberapa langkah ekonomi yang menyediakan asas kepada Malaysia menuju status negara perindustrian.14
Impak dari dasar-dasar ekonomi yang diilhamkan oleh Mahathir dan kemudiannya dilaksanakan dengan deras memberi kesan-kesan yang positif kepada kemajuan ekonomi Malaysia khususnya dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing ekonomi Malaysia bagi mengambil peluang yang tercetus dari proses globalisasi ekonomi dunia. Industri perkilangan dan pasaran antara bangsa menjadi agenda baru dan dengan itu agenda pembangunan sektor pertanian terutamanya dalam pengeluaran perbekalan makanan ruji menjadi tenggelam. Faktor-faktor pengeluaran sektor ini semakin disaingi atau dicuri oleh sektor industri dan pertanian pasaran (pertukaran) antarabangsa. Kesan meluas daripada kepesatan perindustrian dan perbandaran di Malaysia menggalakan kehadiran buruh luar, terutamanya dari Indonesia. Mereka hadir sebagai tenaga kerja dalam bidang pembangunan dan industri, berbeza daripada penghijrah sebelum perang. Kemahiran yang diperolehi tidak akan membantu atau mendorong mereka kembali berkecimpung dalam sektor pertanian di tempat mereka. Arus ini bukan mengurangkan kekuatan faktor-faktor pengeluaran perbekalan makanan, malah memberi tekanan yang semakin genting terhadap bekalan yang mampu dihasilkan.
Contoh-contoh Cabaran Kepada Perbekalan Makanan. (Beras)
Perkembangan-perkembangan semasa yang sering ditatapi di dalam akhbar-akhbar tempatan dan kadangkala muncul di dalam media cetak luar, khususnya yang berkaitan dengan hal-hal yang secara langsung dan tidak langsung dengan kepentingan bekalan makanan, khususnya beras, di Malaysia sudah pelbagai. Berikut disenaraikan beberapa isu menarik dan hangat kepada perhatian rakyat Malaysia.
Penswastaan Bernas.
Lembaga Padiberas Nasional telah dikorporat dan diswastakan dua tahun lalu dan mengambil nama Bernas, singkatan kepada Padiberas Nasional Bhd. Sebagai badan swasta-korporat yang memonopoli perbekalan dan pengedaran Bernas mengambil beberapa tindakan yang akan memberi jaminan dari segi penawaran, pasaran dan keuntungan, tetapi perkembangan yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan beberapa kelemahan. Tindakan Bernas telah berhenti dari menimbun stok beras tempatan walaupun membebaskan cengkamannya ke atas para pekilang tempatan, tetapi ianya memberi laluan selesa untuk para pekilang menuntut harga pasaran beras yang lebih tinggi. Manakala tindakan Bernas bergantung kepada perbekalan beras yang diimport khususnya dari Thailand telah mengurangkan keupayaannya memenuhi permintaan para pemborong beras apabila timbunan stok tidak mencukupi atau perbekalan dari importnya lewat sampai. atau tidak mencukupi. Kekurangan yang artifisial ini mudah menjadi menyebab kepada berlakunya kenaikan harga beras di pasaran.15
Pengambilan Tanah Oleh Kerajaan dan Swasta.
Usaha untuk meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 sedang dijalankan dan akan segera dibentangkan di Dewan Rakyat. Akta ini dalam bentuk asalnya dianggap sebagai satu senjata yang kuat di tangan kerajaan negeri dan berlanggar kuat dengan Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan. Beberapa pindaan telah dibuat kepada Akta ini pada tahun 1991 yang memberi peluang kepada kerajaan negeri bertindak membangun kawasan dan membawa pelaburan masuk serta memudahkan usaha memberi kemudahan asas kepada penduduk kawasan berkenaan. Pindaan yang sedang diusahakan akan antara matlamat utamanya ialah menamatkan kuasa pihak mahkamah membuat keputusan berhubung tuntutan pampasan berdasarkan kepada nilai potensi tanah. Kadar pampasan akan dipandukan kepada harga pasaran asas umum. Pindaan ini pastinya akan memudahkan lagi kerajaan melakukan pengambilan tanah bagi keperluan awam atau melaksanakan matlamat memajukan kawasan. Dari tahun 1960an sehingga tahun 1995, kerajaan telahpun mengambil 100,000 lot bagi kegunaan awam. Pada tahun ini sebanyak 2,155 lot lagi telah diambil dan sebanyak 9,000 baru serta 17,109 lot yang dipohon tahun sudah sedang diproses untuk diambil khususnya bagi pembinaan jalan dan sekolah.16 Keluasan lot-lot itu kebanyakannya tidaklah besar tetapi boleh juga bersaiz luas seperti Bakun, Sarawak yang melibatkan 69,000 hektar untuk projek haidroeletriik bernilai RM15 billion.17
Pindaan kepada Akta ini akan memudahkan lagi tindakan kerajaan mengambil tanah. Malah sebelum ini kegiatan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri sudah sering menunjukkan penyalahgunaan kuasa Akta tersebut. Kes Kerpan dan Gunung Jerai-Lembah Bujang di Kedah18 menunjukkan tindakan pengambilan tanah yang bukan untuk kepentingan awam. Berlakunya kes sedemikian di kawasan negeri jelapang padi, memberi ancaman langusng kepada industri perbekalan makanan bagi Malaysia.
Perbezaan Politik.
Kelantan yang dikuasai oleh parti pembangkang (PAS) tidak mudah untuk mendapat peruntukan perbelanjaan pembangunan dari kerajaan pusat yang dikuasai Barisan Nasional. Sebagai negeri yang bergantung kepada pertanian keadaan ini akan menjejaskan keupayaan pengeluaran beras pada paras maksimum.19 Sebarang kekurangan beras di negeri itu akan juga memberi tekanan kepada keperluan beras nasional atau sekurang-kurangnya mengalakkan kemasukan beras secara sah atau penyeludupan dari kawasan Thailand.
Masalah Pekerja dan Pengekalan Kegiatan.
Kes para pesawah Chui Chak di Langkap (Johor) yang disiarkan boleh menggambarkan secara langsung betapa kesan perindustrian mengancam penawaran tenaga kerja dalam sektor pertanian. Pesawah Cina di situ sukar mendapat isteri kerana pekerjaan sebagai pesawah dipandang rendah dan pemuda pemudi mereka lebih suka kepada kehidupan moden dan bandar yang ditawarkan oleh kehidupan sebagai pekerja kilang. Senario ini bukanlah satu perkara yang asing, malah begitu ketara lumrahnya di tempat-tempat berhampiran kilang (industri) di kesemua negeri.20
Tumpuan Kepada Pertanian Komersil.
Sarawak yang dianggarkan mempunyai 3.4juta hektar sesuai bagi pertanian komersil, menumpukan sebahagian besar keluasan itu setakat ini untuk tanaman kelapa sawit. Baru sahaja diluluskan permohonan dari tidak kurang 30 syarikat yang berhasrat membentuk ladang tanaman tersebut. Negeri itu meletakan sasarannya iaitu keluasan landang kelapa sawit akan mencapai antara 250,000 hingga 300,000 hektar pada tahun 2000. Malah kerajaan negeri Sarawak juga berhasrat memajukan tanah-tanah milik adat pribumi yang berjumlah 1.5juta hektar bagi pengeluaran pertanian komersil.21 Jelasnya kecenderungan pembangunan tanah yang baru terutamanya adalah untuk pengeluaran pertanian komersil dan sedikit sahaja bagi penanaman padi. Justeru itu kawasan pengeluaran padi kekal pada kawasan lama yang semakin memerlukan pembajaan bagi memulihkan kesuburannya.
Rancangan Malaysia Ketujuh.
Sewaktu membentang program Rancangan Malaysia Ketujuh di Dewan Negara, Timbalan Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan) menggariskan sebelas cabaran yang perlu diatasi dalam Rancangan itu. Antaranya melakukan perubahan penekanan dari pelaburan kepada pengeluaran, meningkatkan pengeluaran pemprosesan hasil tinggi (higher value-added) yang jimat penggunaan tenaga buruh dan intensif teknologinya, menangani masalah-masalah sosial, pembangunan kemudahan infrastruktur, sumber dan pakaran manusia serta teknologi dan mengurangi kemiskinan. Beliau menyebut juga tentang usaha menyemak kembali Akta Perkerjaan 1955 untuk menarik lebih ramai wanita dalam pasaran buruh dan Dasar Pertanian Nasional yang juga akan menekankan kepada daya pengeluaran berbanding usaha pembangunan pertanian yang diamalkan dahulu.22 Kecenderungan Rancangan ini terus kepada perindustrian dan langkah-langkah penyemakan kembali Akta Perkerjaan dan Dasar Pertanian Nasional mencipta lebih banyak masalah kepada sektor pertanian. Sehubungan dengan perubahan dasar pertanian, ura-ura untuk menukar status Bank Pertanian, kemungkinannya diswasta menjadi bank komersil turut memberi tekanan kepada aspek modal pertanian.
Pembentukan Kawasan Ekonomi Segi Tiga.
Beberapa projek pembangunan segi tiga (GT), seperti IMT, IMS-GT, BIMP-East ASEAN Growth Area yang mengalakkan peranan sektor persedirian adalah ledakan dari proses ekonomi globalisasi yang mengurangkan batas sempadan antara negara. Salah satu daripada objektif GT adalah memajukan sektor pertanian dan perikanan, tetapi keran usaha pembangunan ini dilakukan oleh pihak syarikat atau persendirian, maka tumpuan pastinya kepada pertanian yang lebih komersil dan penanaman padi akan mendapat perhatian rendah 23 Sebaliknya kesan pembangunan itu, khususnya dari penawaran tenaga kerja, penggunaan tanah, penekanan dasar, perhatian dan modal akan menambah lagi masalah kepada kegiatan penanaman padi.
Kesimpulan.
Kecenderungan kepada perindustrian oleh negara-negara rantau ini dalam situasi dunia kini ternyata menuntut kewaspadaan dan komitmen yang tinggi di kalangan elit politik dan elit ekonomi dalam menjaga kepentingan nasional iaitu kesejahteraan untuk orang banyak. Pada asasnya imperatif moral harus diambil kira melebihi segalanya. Keperluan makanan, tidak banyak hutang yang dibentuk kerana pembangunan moden dan industri yang menjadi mainan gergasi ekonomi dunia dan negara maju, adalah langkah-langkah berhemah baik dalam mencetuskan negara harmoni yang sebenarnya. Keharmonian ini berbeza daripada pembentukan negara yang berdiri atas ideologi harmoni kepentingan yang memupuk nilai-nilai kapitalisme yang menghilangkan bukan sahaja sempadan, kedaulatan, malah identiti etnik atau bangsa.
1Ghapa Harun, Globalisasi Ekonomi Dunia: Implikasi Ekonomi dan Politik Ke Atas Negara Dunia Ketiga, Seminar Kebangsaan Nasionalisme dan Pembangunan Di Malaysia, 15 November 1994, Anjuran Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
2Dikutip dari R.G. Wells, ASEAN Intraregional Trading in Food and Agricultural Crops - The Way Ahead, Asian Survey, No. 8, Vol. XX, June 1980, hal. 668.
3Andrew Turton, Partcipant in Rural Development: Some Aspects of the Thai Case, Akademika, Jurnal Ilmu Kemanusiaan dan Sain Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bil. 20 & 21, Januari & Julai 1982, hal. 115-118.
4Geoffrey B. Hainsworth, Performance and Perspective in Economic Development in Southeast Asia: Traditional Strategies and New Approaches, dalam The Past in Southeast Asia's Present[
5Bruce Glassburner, In the Wake of General Ibnu: Crisis in the Indonesian Oil Indstry, Asian Survey, No. 12, Vol. XVI, December 1976, hal. 1111.
6Abdul Shukor Ariffin dan Hassan Hj. Ali, Pergolakan Dasar Ekonomi Negara Sebelum dan Selepas 1969, Kongress Sejarah Malaysia, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia sempena Jubli Perak, bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, 10-12 April 1978, hal. 3.
7David Lim, The inter-play of Economic, Social and Political Forces in Development Planning in West Malaysia, National Development in an Interdependent World, AIESEC Malaysia Seminar for Student Leaders, p.6-7.
8Anuwar Ali dan Hassan Hj, Ali, Proses Perindustrian Di Malaysia dan Kesannya Ke Atas Pembangunan Negara, Seminar Sejarah Malaysia Moden, 21-22 Disember 1982, anjuran Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
9Chamhuri Siwar and Nik Hashim, Rural Development Policies in Malaysia: Impact Problems and Prospect, Malaysian Social Science Association, Malaysia Society (ASAA) Colloquium, June 29 - July 3, 1987, Universiti Sains Malaysia, hal. 7
10William Shaw, Tun Razak: Riwayat Hidup dan Zamannya, Longman Malaysia Sdn. Berhad, Kuala Lumpur, 1977.
11J. Victor Morais, ed., Strategy for Action: Selected Speeches of Tun Haji Abdul Razak, Jabatan Cetak Kerajaan, Kuala Lumpur, 1969.
12Shamsul Amri Baharuddin, Perancangan Pembangunan Negara Selepas Merdeka 1957-1975: Tinjauan Sejarah Perkembangan Sosio-Ekonomi Malaysia, Kongress Sejarah Malaysia, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia sempena Jubli Perak, bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, 10-12 April 1978, hal. 11-12..
13Jomo K.S., peny. Dasar Ekonomi Mahathir, Insan, Kuala Lumpur, 1989, hal. vii-viii.
14M. Rajendran, Mahathir Mohamad, Prime Minister of Malaysia, IBS Buku Sdn. Bhd., Petalling Jaya, 1993, hal. 117-119.
15Sun, Wednesday, June, 1996, hal.2
16The Star, Monday, June 10, 1996, hal.1; dan Sun, Wednesday, May 29, 1996, hal. 12.
17Sunday Star, May 12, 1996, hal. 8
18Sun, Wednesday May 15, 1996, hal.4.
19Sun, Wednesday, May 15, 1996, hal. 6.
20Sunday Star, May 12, 1996, hal.9.
21The Star, Saturday, June 1, 1996, hal. 6.
22Sun, Wednesday, May 29, 1996, hal. 6.
23The Star, Monday, June 10, 1996, hal.8-9.
4
Built by Text2Html