Demokrasi bermaksud " Kerajaan milik rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat". Makanya kuasa yang memerintah perlulah mengambilkira kehendak sebenar rakyat seperti yang di manifestasikan oleh proses pilihanraya yang dijalankan dari masa ke semasa secara adil dan jujur menerusi undian rahsia. Penglibatan aktif oleh rakyat yang prihatin perlu dialu-alukan secara terbuka, kerana ia menggambarkan kesedaran mereka terhadap hak-hak demokrasi dan kuasa memilih(mengundi).
Berdasarkan kefahaman ini 42 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi persetujuan terhadap satu usahasama yang di panggil " Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia" yang bertujuan untuk mengawal dan memelihara dan melindungi prinsip-prinsip demokrasi melalui pilihanaya yang bebas, saksama dan jujur. Antara prasyarat konsep pilihanraya yang bebas , saksama dan jujur adalah:
Berdasarkan kepada item no 2 di atas, PEMANTAU dengan berbesar hati memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya telah dengan jelas menyatakan bahawa suruhanjaya ini adalah satu badan bebas. Bebas dari segala pengaruh politik seperti yang termaktub dalam artikal 114 Perlembagaan Persekutuan.
Untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa Suruhanraya Pilihanraya ini benar-benar sebuah badan bebas, dan untuk menghapuskan keraguan terhadap "status kebebasan" tersebut maka PEMANTAU dengan berbesar hati menyerahkan memorandum ini kepada Suruhanjaya Pilihanraya dengan harapan tindakan pembetulan terhadap situasi-situasi berikut:
I. Kod Perlakuan. (Code of Conduct)
Suruhanjaya Pilihanraya mestilah menerbitkan satu buku peraturan "Kod Perlakuan" untuk pilihanraya umum ke - 10 ini sebagai panduan menyeluruh yang mesti ditaati oleh semua parti politik, calon dan orang ramai supaya semua pihak mengetahui dengan jelas had dan sempadan yang telah ditetapkan dalam undang-undang bagi mewujudkan pilihanraya yang benar-benar bebas dan saksama. Kod Perlakuan seharusnya meliputi di antara lain perkara - perkara berikut:
II. Daftar Pemilih Pilihanraya Tekal
Berdasarkan pengalaman pilihanraya yang lalu yang mana terdapat wujudnya pengundi-pengundi hantu, yang menimbulkan kesangsian dan keraguan terhadap senarai pemilih pilihanraya. Apa yang amat diharapkan ialah perkara ini telah diambil tindakan dan telah diselesaikan. Meluasnya dakwaan bahawa terdapat perkara yang telah berlaku dalam pilihanraya negeri Sabah bulan Mac 1999 di mana telah dilapurkan berlakunya penipuan di dalam senarai daftar pemilih, seperti pengundi didaftar dua kali sehingga menyebabkan beberapa kes-kes tertentu masih di dalam proses perundangan. Pernyataan Suruhanjaya Pilihanraya bahawa pembetulan dan pembersihan terhadap senarai pemilih sudah dibuat tidak cukup untuk meyakinkan rakyat. Proses pembersihan perlu dijalankan dengan telus agar dapat menyakinkan rakyat bahawa senarai tersebut telah dibetulkan dengan sepenuhnya.
Satu senarai daftar pemilih yang bersih, diyakini tekal kesahihannya adalah prasyarat bagi mana-mana pilihanraya yang bebas dan saksama, supaya keputusan pilihanraya benar-benar mencerminkan kehendak rakyat dan tidak boleh dipersoalkan atau di buat sebarang bantahan penolakan.
Maka kami dengan ini menggesa pihak Suruhanjaya Pilihanraya agar mengatasi semua masalah yang berkaitan dengan kesahihan senarai pemilih dengan cara menjalankan pendaftaran pemilih yang baru untuk semua pengundi yang layak agar maklumat pemilih benar-benar tepat , bersih dan terkini diperolehi. Kami amat yakin bahawa dengan bantuan teknologi komputer canggih yang ada, pendaftaran sedemikian bukanlah perkara yang mustahil untuk dilaksanakan.
Kami amat prihatin terhadap hasil semakan senarai pemilih baru-baru ini yang mana masih terdapat beberapa isu yang menimbulkan banyak keraguan. PEMANTAU telah menerima banyak aduan dari pemilih yang menjelaskan yang alamat mereka telah ditukar tanpa pengetahuan mereka.
Kami juga telah mendapati banyak nama-nama pemilih yang telah didaftar secara bertindih yang tidak dipenduakan. Sedangkan pemilih yang nama mereka telah dipenduakan telah dibatalkan dari senarai pemilih.
III. Pengundi Yang Tidak DiSenaraikan.
Pihak Suruhanjaya Pilihanraya telah memaklumkan jika pilihanraya diadakan pada tahun ini , pemilih berdaftar yang baru berdaftar pada tahun ini tidak dibenarkan mengundi kerana proses untuk mendaftarkan nama-nama tersebut kedalam senarai pemilih mengambil masa 7 bulan. Prosidur dan peraturan ini telah digunapakai sejak tahun 1971 iaitu zaman penggunaan teknologi komputer belum diperkenalkan. Sepatutnya dengan sokongan penggunaan komputer urusan pendaftaran tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh paling singkat. Akibat dari proses sebegini Suruhanjaya Pilihanraya akan menafikan hak mengundi bagi sebilangan besar daripada rakyat yang berhak mengundi iaitu hak asasi yang diperuntukkan di dalam Perlembangaan Persekutuan. Dengan kata lain pemilih terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara ini. Mengundi adalah hak asasi setiap rakyat dan perlu dihormati serta tidak boleh disekat atau diganggu gugat dengan apa cara sekalipun.
IV. Undi Pos
Undi pos merupakan satu lagi masalah yang berlanjutan dari dulu hingga sekarang. Proses mengundi yang dijalankan oleh tentera, polis dan pasangan mereka masih didapati kurang telus dan membuka peluang kepada penyalahganaan kuasa dan penipuan. Pihak PEMANTAU telah menerima laporan daripada pihak tentera, polis dan pasangan mereka yang menjelaskan perkara berikut:
Pernyataan Suruhanjaya Pilihanraya yang menjelaskan bahawa pegawai mereka sendiri yang mengendalikan proses undian pos kepada pengundi terlibat adalah tidak mencukupi dan tidak dapat diterima. Penyerahan kertas undi dan proses pembuangan undi pos mesti dijalankan dihadapan agen-agen pilihanraya yang mewakili semua parti politik yang bertanding dan badan pemerhati bebas. PEMANTAU menyarankan dengan tegas kepada Suruhan Pilihanraya agar mengizinkan (membenarkan) semua pegawai polis, tentera dan pasangan mereka mengundi sepertimana rakyat biasa keluar mengundi. Undian melalui pos hanya digunakan kepada rakyat Malaysia yang berada diluar negara sahaja.
V. Tempoh Berkempen.
PEMANTAU mengalu-alukan pernyataan Suruhanjaya Pilihanrayaiaitu sebaik sahaja parlimen dibubarkan Suruhanjaya Pilihanraya akan menentukan semua hal ehwal yang berkaitan dengan pilihanraya termasuk menentukan hari penamaan calon, tempoh masa berkempen dan hari membuang undi. Suruhanjaya Pilihanraya mestilah mempunyai kebebasan mutlak dan dengan itu tidak dengan sewenang-wenangnya menerima arahan dari pihak kerajaan yang memerintah berhubung dengan tempoh waktu berkempen pilihanraya.
Oleh kerana peraturan telah memperuntukan tempoh minimum dan maksimum untuk berkempen, maka Suruhanjaya Pilihanraya diberi kuasa untuk menentukan tempoh berkempen yang munasabah. Tempoh tersebut termasuk urusan mengedarkan kertas undi dan menerima balik kertas undian pos. Memandangkan terhadnya peluang atau kesempatan parti pembangkang dan calon bebas untuk menggunakan saloran media utama untuk berkempen, maka adalah wajar pihak Suruhanjaya Pilihanraya menyediakan satu tempoh masa berkempen yang munasabah untuk membolehkan parti pembangkang dan calon bebas menemui bakal pengundi mereka.
VI. Media
Pilihanraya yang bebas dan saksama tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya media awam tidak dapat digunakan oleh semua calon parti politik yang bertanding dalam pilihanraya. Dalam negara demokrasi rakyat bukan sahaja mempunyai hak untuk mengundi dan menentukan kerajaan, tetapi mereka juga berhak untuk mendapat maklumat (diberi maklumat) berdasarkan pilihan dan selera mereka. Rakyat berhak mendapat maklumat yang lebih baik daripada maklumat semasa yang berat sebelah, di mana media utama (awam) menyuarakan dengan panjang lebar apa yang dikatakan oleh pemimpin parti yang memerintah dan menyiarkan semua yang negatif dan memburukan parti pembangkang, tanpa memberi ruang kepada pembangkang menyampaikan pandangan mereka.
Dalam hal ini PEMANTAU menggesa Suruhanjaya Pilihanraya supaya bertegas menentang apa sahaja bentuk penggunaan media awam yang tidak adil oleh parti yang memerintah untuk kempen mereka. RTM adalah media awam yang berfungsi sebagai sumber maklumat dan hiburan bagi rakyat keseluruhan. Rakyat melalui cukai dan bayaran lesen radio dan t.v. membiayai kewangan RTM. Media RTM bukanlah alat, harta dan hak milik peribadi mana-mana parti tertentu.
Semua parti perlu diberi peluang yang sama untuk menyampaikan pandangan mereka menggunakan RTM. Kebebasan menyampaikan pandangan yang berbeza melalui RTM adalah sebahagian dari hak asasi dalam pemerintahan demokrasi . Sekiranya Suruhanjaya Pilihanraya terus berdiam diri dalam hal ini, sudah pasti ia menimbulkan impak (kesan) yang negatif dalam pemikiran rakyat terhadap kewibawaan , kebolehpercayaan dan ketulusan Suruhanjaya Pilihanraya itu sendiri.
PEMANTAU dengan ini ingin menegaskan perkara-perkara berikut:
Bersama kita menjadikan pilihanraya yang akan datang sebagai pilihanraya yang benar-benar bebas, saksama dan bermakna.
Kamar Ainiah Kamaruzaman
Pertubuhan Kebajikan BUDI Malaysia
Kordinator PEMANTAU Pilihanraya Rakyat Malaysia.
October 27, 1999